Khamis, 19 Disember 2013

Mimpi Semalam Berlalu Pergi....

Aku susur lagi denai dan lurah memori untuk mengutip sisa-sisa ingatan untuk aku coretkan sebagai sebuah lagi nukilan rasa.Selagi ada waktu,selagi diberi kemampuan dan kewarasan akal fikiran oleh NYA,aku akan terus menulis. InsyaAllah...Kisah yang lalu tetap berlalu pergi,kisah duka dan mimpi ngeri telah cuba dilupakan walaupun aku tak termampu.


Yang Pipih Datang Melayang...Yang Bulat Datang Bergolek...

Bak kata orang...rezeki ada dimana-mana...Alhamdulillah siapa sangka bencana dan musibah yang melanda aku dan rakan-rakan yang berkhidmat diatas KD Raja Jarom dulu rupa-rupanya ada hikmahnya.Semuanya kurniaan Allah SWT Yang Maha Agung lagi Maha Kaya.

Perkhidmatan kami di Woodlands itu diambil kira sebagai perkhidmatan luar negara...tidak aku duga sama sekali aku akan dapat back rated elaun Singapore  ..salah seorang rakan writer pay memberitahu nama aku tersenarai di papan kenyataan Pejabat Gaji KD Pelandok...aku layak menerima sejumlah wang yang tidak pernah aku mimpikan...jumlah yang belum pernah aku miliki seumur hidup aku...Syukur Alhamdulillah...


Angan-angan bakal menjadi kenyataan...

Seolah-olah aku bermimpi disiang hari...mimpi-mimpi sewaktu di Singapura dulu kini dijelmakan di sini.Teringat aku waktu-waktu itu...aku hanya mampu memandang pemuda-pemuda Singapura memerah superbike...memacu laju dengan sombongnya,menyeberangi Tambak Johor....Terpegun aku dengan model motosikal mereka...Yamaha LC 125,250 dan 350,Kawasaki AR125...Honda CB4 paling aku kagum kerana mempunyai empat exhaust..aduhhhhh....jadi gila aku dibuatnya.Terbayang-bayang menunggang jentera buatan jepun itu dalam mimpi.Namun tiada lagi mimpi-mimpi yang menghantui fikiran aku,segala-galanya bakal aku miliki.Aku nekad,aku mesti membeli motosikal idaman ku...




                                        Kawasaki AR 125


                                            Honda CB4 




                                         Yamaha LC 125



                                           Yamaha LC 250


Segala-galanya bermula disini,alam bermotor sebenar telah bermula.Saban hari aku meronda dan membuat survey di setiap kedai-kedai motosikal di sekitar bandar Ipoh.Namun jentera yang aku minati belum aku temui...kalau ada pun semuanya diluar kemampuanku. Suzuki Katana 1000cc,Suzuki GSX1000,Kawasaki GPZ 8000...harganya semua belasan ribu ringgit. Tokey kedai acah tak acah aje melihat gelagat aku...." Lu yangan pegang-pegang la kawan..nanti losak susak lo"...dalam kepala aku " kepala hotak lu...pegang pun boleh rosak ka"....mungkin aku ni seorang yang selekeh...itulah asam garam yang aku masih ingat sewaktu aku tercari-cari jentera yang aku mimpikan.



                        Moto-moto yang tak mampu aku miliki..


Aku hampir berputus asa....seperti tiada harapan untuk memiliki sebuah motosikal besar ! Ingin saja aku kembali ke Woodlands untuk mencarinya. Pada suatu pagi aku dan rakanku yang bernama Jamri @ Bui melewati lagi bandar Ipoh dengan menaiki bas Perak Roadway berwarna merah.Perjalanan dari pekan Lumut ke Ipoh mengambil masa hampir 2 jam melalui pekan Sitiwan,Air Tawar,Bota dan Pusing.Kami berjalan kaki entah kemana-mana...hingga terjumpa kedai moto yang tertera 'Yamaha' di Jalan Bendahara,Ipoh...

Aku semacam dipukau apabila terpandang sebuah Yamaha RD LC 250 berwarna putih didepan mataku...aku terkedu....terpukau akan 'kejelitaannya'...kakiku seolah-olah kaku untuk melangkah.." Kawan...angkatla satu...kita bagi you special prize punya,manyak laju wo ini moto,seratus lapan puloh cinang-cinang wo"...Aku terjaga dari lamunan dek cina salesman yang kelihatan seperti jaguh lumba di litar batu 3 itu. Tak tertelan air liurku bila terpandang angka $7900 terlekat di kaca lampu depan motosikal tersebut..." Bos boleh kasi hutang ka bos?"..tanyaku dengan serius....." boleh kira maa..lu apa keleja?"..tanya salesman tu bagaikan lagak seorang tauke besar...


 


Tiba-tiba...." bang nak beli moto ke bang...moto apa bang"...tegur seorang pemuda melayu yang aku kira sebaya dengan aku..." kalau moto ni..saya ada kawan nak jual,boleh saya bawa abang ke kedai makan dia..kat railway".." harga nanti abang runding dengan dia,moto tu baru lagi bang"....bersungguh-sungguh betul kawan ni...Tanpa banyak bicara aku bersetuju...tapi dengan syarat moto tu kena bawa kesini kerana aku tiada kenderaan untuk kesana....

Setengah jam kemudian meluncur laju kuda putih yang aku tunggu-tunggu...gementar dan bedebar.."Assalamualaikum bang"...pemuda kacak pemilik RD LC berwarna putih itu menegurku...."saya Roslan"..apalagi tanpa dipelawa aku terus melangkah naik untuk terus duduk diatas moto idamanku...entah macamana gelagat aku masa tu kalau dibayangkan...

Setelah rundingan tawar menawar berlaku,Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.Harga yang dipersetujui ialah 6000 Ringgit dengan baki hutang kedai diselesaikan oleh Roslan.Serahan akan dibuat pada hari berikutnya setelah pembayaran dibuat sepenuhnya,

Malam itu seolah-olah seribu malam...tak sabar untuk menunggu hari siang...sampai ke Azan Subuh aku masih lagi tidak dapat melelapkan mataku..hari ini impian aku untuk memiliki sebuah jentera Yamaha RD LC 250 pasti akan menjadi kenyataan...




Kau menjadi milikku

Hari-hari indah bersamamu...

Ada waktu engkau perlukan belaian...

Pasti ada saja yang ingin menumpang....Jamri@Bui...

Hanya anak sulungku Nik Nurulwahida yang sempat merasai....

Kemana saja aku bawa...onboard KD Mahawangsa at Bangkok



Jentera-jentera yang pernah aku jinakkan suatu masa dulu...



"One you are biker..you will always be.."




Ikuti sambungan...aku seorang biker.....

Selasa, 17 Disember 2013

Kisah-kisah yang suram.....

Sedang mereka,anak-anak kapal KD Raja Jarom yang tidak bertugas sedang leka menonton tayangan filem " Grease 2" lakonan John Travolta dan Olivia Newton John di dining hall,aku nun di engine room untuk menjalankan tanggung jawab ku sebagai seorang watchkeeper dalam awasan First Watch iaitu dari 2000H hingga 0000H.( 8.00-1200 mlm).

Tugas aku adalah untuk memastikan semua jentera,main engine,generator,pump dan auxiliaries machinery  berfungsi dengan baik,disamping membuat round correct pada compartment kapal yang telah ditetapkan pada setiap jam.Sebarang failure pastinya akan menganggu sistem pelayaran sesebuah kapal.

Round Correct

Sebelum membuat round correct sempat juga aku melawat 'PO' Mess ( kamar tidur untuk Senior Rates) untuk memastikan mana satu 'bunk' PO Rahman tidur,kerana dia suka berpindah tempat. Selepas solat magrib berjemaah di surau,beliau sempat berpesan pada aku agar mengejutkan beliau lebih awal sebelum masuk duty sebagai Duty ERA untuk Middle Watch iaitu dari 0000H-0400H (12.00mlm-4.00 pagi) menggantikan watch kami.Maklumlah kalau aku lewat pasti sukar aku untuk mencari beliau kerana selepas Pipe Down ( 10.30 malam),hanya Pilot Light  (warna merah) sahaja dibenarkan untuk dinyalakan pada sesebuah kapal perang.

Namun aku tidak sempat menyapa PO (Petty Officer) Rahman kerana beliau telah tertidur di atas bunk bersama senaskah kitab Suci Al Quran yang ku lihat terbuka, terlangkup di atas dada beliau. Kaku aku sejenak melihat keadaan beliau. Allahuakhbar betapa luhur dan tenang sekali wajah PO Rahman...memang dia seorang yang warak dan beriman,begitu taat mengerjakan perintah dan suruhan Allah SWT.Aku begitu senang kalau bertugas satu awasan dengan beliau,seorang yang suka bergurau dan banyak memberi nasihat dan pedoman tentang agama pada aku...aku selalu ditegur kerana tidak turun untuk bersama solat  berjemaah di surau KD Raja Jarom...terima kasih sheikh...itulah yang selalu aku ucapkan kepada beliau...

Sesudah itu aku keluar dari Po Mess untuk membuat lawatan ke tempat lain pula.Aku melalui Dining Hall sambil membuat 'round correct' di Steering Gear Compartment. Apalagi..aku tanpa melepaskan peluang,aku mengambil kesempatan untuk singgah sejenak menonton filem yang sedang ditayangkan itu. Apa tidaknya kisah cerita Grease ini aku ikuti dan tonton dari episod 1 lagi. Filem Grease 1 pernah aku tonton bersama-sama Cikgu Din sepupuku ditemani oleh rakan-rakan beliau yang sama menuntut di Maktab Perguruan Lembah Pantai. Lupa pulak apakah nama panggung wayang yang terletak di Petaling Jaya itu. Ianya sebelum aku memasuki Navy lagi iaitu pada tahun 1978.

Pasangan Sandy Olsson ( Olivia) dan Danny Zuko ( John Travolta ) memang aku minati sangat lagu-lagu yang mereka dendangkan seperti Hopeless Devoted To You dan You're The One That I Want. Sesiapa yang pernah melalui zaman 'Saturday Night Fever' pasti tidak akan melupakan lagu-lagu ini juga saat-saat manis pada waktu-waktu itu...

Aku tidak pasti pukul berapa waktu itu,namun aku terpaksa bergesas turun kembali ke bawah kerana rakan setugasku ODME Raja Zakaria sedang keseorangan di Generator Room......Lantas... belum pun sempat kakiku memijak dek engine room.....BOOOOOOMMMMMMMM....tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran membuatkan aku jatuh terguling disebelah hatch,satu-satunya pintu masuk ke engine dan generator room. Kepalaku terhantuk menyebabkan aku kepeningan....aku cuba bangkit...tiba-tiba Hull KD Raja Jarom bergegar lagi akibat dentuman kedua....sejurus selepas itu kedengaran lagi dentuman yang ketiga yang agak perlahan dari yang sebelumnya disusuli dengan bunyi geseran besi yang amat ngilu...Aku sempat berpaut pada tangga dalam kebingungan....aku pegang kuat,takut terjatuh lagi....

Dalam keadaan terkejut aku tidak tahu apakah malapetaka yang sedang berlaku,aku berlari ke ruang Generator Room untuk mencari rakanku Raja Zakaria...petugas-petugas yang lain tidak ku ketahui dimana mereka. Ketika aku temui rakanku itu,dia sedang menahan kesakitan akibat terjatuh hasil impact yang amat kuat tadi.

Kami menjadi tidak menentu....kedengaran desiran seakan-akan bunyi air yang sedang memasuki compartment generator room....panik,takut,buntu membuat kami hilang arah....tiba-tiba...looooopppp....keadaan menjadi gelap gelita.....blackout ....

Ya Allah Ya Tuhanku aku berserah padaMU...mungkinkah ini penghujung nyawaku...terlintas dalam benak fikiran ku...tiada apa yang aku fikirkan..hanya menunggu dan menunggu dalam kegelapan...

Jentera utama masih beroperasi dengan baik walaupun generator telah terputus bekalan letrik.Hanya lampu-lampu panel pada jentera Deutz saja yang kelihatan...merah dan hijau...Aku dan Raja Zakaria tanpa menerima arahan terus reset balik generator dalam keadaan meraba raba....dengan harapan agar lampu-lampu kembali akan menyala...boooooommm lagi sekali letupan kuat kedengaran..keadaan kembali gelap.....berlaku short circuit kemungkinan akibat dari tindakan kami itu...


Bagaikan berada dalam mimpi.

Kami masih kebingungan...tidak kami ketahui apakah yang sedang berlaku...aku ketakutan dalam kegelapan...aku hanya berserah pada Allah apa yang akan terjadi selepas ini.....desiran air memasuki kapal makin kuat ku dengari...Ya Allah..Ya Allah..Ya Allah...sekiranya inilah pengakhir nyawaku...aku berserah pada MU... 

'Raja.....adakah kita akan mati?' tanyaku....dia hanya membisu seribu bahasa...menunggu..menunggu...menunggu..apakah yang bakal berlaku...Gelap,panas,overall telah dibasahi peluh...tidak dapat aku gambarkan betapa takutnya aku...Tiada jalan untuk kami keluar...kami sudah kehilangan arah....aku dan Raja Zakaria agak lama juga berada dalam keadaan sedemikian...tidak aku pasti berapa lama...hanya Allah saja yang Maha Mengetahui...aku semacam sudah berada di alam yang lain....

Tiba-tiba mataku terpandang kilauan cahaya yang cerah datang dari arah hatch engine room....kedengaran suara orang memekik mekik memanggil manggil sahut menyahut...".sapa ada disini..sapa ada disini" ...Allahuakhbar..aku masih hidup rupanya...Sayaaaaa....sayaaaaa...aku  dan Raja menyahut sekuat hati....

Maaf wahai rakan-rakan..aku telah lupa siapakah kalian yang menjadi search & rescue party,turun untuk mencari kami...terima kasih..hanya itu yang dapat aku ucapkan...

Rupanya hanya tinggal kami berdua saja dibawah...petugas-petugas yang lain telah awal-awal lagi naik menyelamatkan diri masing-masing...aku dan rakanku tadi dipapah naik keatas dalam keadaan shock...seolah-olah hilang ingatan...tidak mengetahui apakah yang sedang berlaku...

Krew KD Raja Jarom sebenarnya telah fall out dari emergency station,mereka telah bersurai dari berkumpul di Life Raft masing-masing setelah kapal didapati tidak akan tenggelam walaupun arahan Abandon Ship telah dikeluarkan oleh Commanding Officer (CO). Seorang yang boleh aku katakan pengecut,sombong dan tak sedar diri.Manusia yang paling bongkak pernah aku temui.Kenapa aku berkata begitu?..Tanyalah krew-krew KD Raja Jarom yang masih hidup hari ini yang sama-sama melalui hari-hari yang sukar dibawah pemerintahan beliau...Beliau dengan sombong menolak bantuan dari Singapore Rescue Boat yang cuba datang membantu...perkara ini berlaku didepan mata aku....



Kasih seorang sahabat

Sesampai di dek atas...rakanku Mail Kepoh berlari menyambutku...aku dipeluk (sebak aku ketika ini mengingati saat itu)..aku memang rapat dengan beliau...Alhamdulillah Jie kau masih hidup,merah mata beliau ku lihat  tidak dapat menahan kesedihan,sambil menepuk-nepuk belakangku..Aku masih kebingungan...apakah objek besar berwarna hitam berada di hadapan KD Raja Jarom?...siapakah makhluk-makhluk yang berpakaian rain coat kuning itu?...kenapakah mereka bercakap-cakap dalam bahasa Jepun?

Mail memberitahu aku.." Jie...kapal kita telah berlanggar dengan Shuyo Maru..tu dihadapan kita tu...lihat tu"..sambil menunjuk kearah tulisan Shuyo Maru yang jelas kelihatan....Ya Allah,aku seakan sedar dari lamunan...aku bukan bermimpi...baru aku tahu apa yang berlaku sebenarnya...Terima kasih sahabatku..terima kasih...Alhamdulillah.....

Rupanya krew-krew Shuyo Maru sedang bertungkus lumus membuat boundry cooling cuba memadamkan kebakaran yang tercetus akibat collision yang berlaku itu....Aku lihat krew KD Raja Jarom masih kelam kabut di atas dek...ada yang berteriak,ada yang menangis...ada yang sudah ingin terjun ke laut...dalam riuh rendah aku ternampak salah seorang krew yang berpangkat Leading Hand dalam keadaan panik...selain pakai Life Jacket dia juga menyarung Life Bouy...bukan satu..tapi dua....sampai hari ini aku tersenyum dalam kesedihan seorang diri bila mengenangkan peristiwa itu.


 Mail....terima kasih




Memadam kebakaran...

MCPO Lee mengarahkan kami untuk kembali turun ke tank deck untuk membantu memadam kebakaran barang-barang yang terdiri dari kelengkapan rumah seperti perabut yang hendak dibawa ke Lumut . Aku ,ABME Yusop dan lain-lain terus bergegas turun...Waktu itu api tengah marak,kami menyabung nyawa untuk memadam kebakaran tersebut...Hanya Tuhan saja yang tahu betapa penatnya kami pada waktu itu...Alhamdulillah,berkat kepakaran dan latihan fire drill,kami berjaya padamkan kebakaran tersebut beberapa ketika selepas itu...



Love Letter

Kami kembali naik ke dek atas  setelah dipastikan api telah betul-betul padam...usaha search and rescue diteruskan untuk mencari beberapa orang anggota yang missing...sayup-sayup kedengaran suara anih dari arah Starboard Side kapal....kami semua terpinga-pinga memandang satu sama lain..." Amma...Appa..Amma..Appa...help me..help me"..kedengaran suara yang seolah-olah tidak bermaya .Salah seorang daripada kami memandang ke bawah bahagian yang remuk dan terkoyak akibat rempuhan Shoyu Maru...ternampak seorang anggota sedang cuba memanjat ship side untuk naik keatas. Setelah aku amati,barulah aku cam,beliau ialah POERA Chelvam, rakan keturunan India yang selalu aku usik kerana kesopanannya.Beliau sudah sekian lama terperangkap di bilik Machine Shop.Beliau berjaya dikeluarkan sejurus selepas itu melalui ship side kerana pintu dari arah dalam tidak dapat dibuka lagi...rupa-rupanya, waktu kejadian, POERA Chelvam sedang keseorangan di bilik tersebut,asyik menaip love letter kepada minachi...surat itu kami temui masih terlekat di type writter beberapa hari selepas itu.



Jasad terkujur

Dari jauh aku memerhati beberapa orang shipwright sedang memotong hull kapal yang remuk dengan menggunakan oxy cutter..ada suara membisikkan pada ku .." ada orang terperangkap"..aku pun lupa siapakah yang membisikkan pada ku....aku meninggalkan lokasi untuk mencari seteguk air...meraba-raba dalam kegelapan di galley...tiada apa yang aku jumpai...malah keadaan galley semasa itu tunggang langgang,berselerak akibat dicerobohi oleh insan-insan lain yang dahaga dan kelaparan.Aku terpaksa menahan lapar dan dahaga untuk seketika...

Bila aku keluar semula ke geladak atas....aku ternampak beberapa orang sedang mengerumi sesuatu...satu jasad terbujur....PO Ramli telah kembali ke rahmatullah...beliaulah yang dikeluarkan dari celahan besi yang remuk itu...semoga rohnya dicucuri rahmat...berbahagialah diSANA....


Arwah merupakan salah seorang anggota shipwright yang hanya menumpang KD Raja Jarom untuk bertukar ke Lumut.Aku baru saja mengenali beliau dari dekat apabila beliau menumpang KD Raja Jarom bersama motosikal kesayangannya..Honda CB Four 500 berwarna hitam.Motosikal ini juga remuk dan terbakar akibat pelanggaran itu.Sejak sekian lama aku telah memerhati beliau menunggang CB Four ini semasa di Woodlands,namun aku tidak berpeluang untuk mendekatinya walaupun motosikal ini menjadi idaman ku. Beliau pergi bersama motosikal kesayangannya.....Al-Fatihah..Sedih tidak tertahan bila aku dan Mail mengadap sebujur jasad dalam hujan yang renyai-renyai seolah-olah alam juga turut bersedih akan kejadian yang menimpa kami....kami menunggu arwah sampai pagi...



KD Indera Sakti tiba...

Dalam keadaan letih,lapar,dahaga...suasana lebih menjadi pilu apabila seorang lagi Senior Rates ditemui tersepit di bunk PO Mess. Allahuakhbar tak sanggup rasanya untuk melihat beliau pergi dalam keadaan yang menyayat hati...Beliau ialah PO Shipwright Rahman yang juga menumpang KD Raja Jarom untuk ke Lumut.

2nd Buffer PO Jack Harris kelihatan sedang sibuk mengutip saki baki cebisan-cebisan anggota badan arwah.Beg plastik kelihatan tergantung di pinggangnya.Beliau tanpa takut dan segan silu melakukan tugasan dibantu oleh beberapa rakan...respect betul aku kepada PO Jack Harris.

Pagi menjelma dalam kesedihan,kelihatan dua buah kapal Petrol Craft dan KD Indera Sakti dikejauhan.Jasad yang kaku dipindahkan ke PC tersebut,lupa aku akan nama kapal ronda tersebut.Kami masih mencari-cari seorang lagi rakan yang belum ditemui iaitu POERA Rahman yang aku ceritakan pada awal nukilan ini.Insan yang beriman dan sentiasa bertakwa pada Allah SWT....mungkinkah akulah yang terakhir melihat beliau? Hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui...namun hingga kesaat itu,beliau masih tidak ditemui.Yang aku temui selepas KD Raja Jarom berjaya ditarik ke MBJ ialah cuma sebelah dari Safety Shoe milik beliau yang memang aku kenal.Malah bunk tempat arwah berehat pun tidak kelihatan....aku pasti telah jatuh kedalam laut...





Gambar diambil dari KD Indera Sakti...KD Raja Jarom masih melekat pada Shuyo Maru.Kelihatan bow Shuyo Maru tersekat pada tiang crane.Kalaulah ditakdirkan tiang tersebut patah,nescaya krew yang berada di bridge dan aku yang berada di generator room mungkin sudah tiada lagi di dunia ini....



Sireh Pulang Ke Gagang

Setelah kerja-kerja memisahkan 'ciuman' antara KD Raja Jarom dengan Shuyo Maru yang melekat diantara satu sama lain berjaya dilakukan,akhirnya kami ditunda oleh sebuah Tug Boat yang dikemudikan oleh seorang Captain berbangsa inggeris dari Bufflo Rock ke MBJ di Woodlands.

Setelah mengharungi suasana sedih dan pilu,kami akhirnya telah selamat tiba di MBJ pada waktu petang ke esokkannya, 20 Disember 1982 Sungguh cekap Captain mat saleh tersebut menunda KD Raja Jarom hingga selamat along side di MBJ. Dari kejauhan lagi kelihatan MBJ penuh sesak dengan anggota-anggota TLDM menunggu ketibaan KD Raja Jarom yang remuk,seremuk hati kami...




Lihatlah keadaan hull KD Raja Jarom dikoyak oleh Shuyo Maru...bunk arwah POERA Rahman jatuh ke laut membawa bersama beliau...


Sesudah kapal selamat ditambat di MBJ,sebaik sahaja gangway dipasang,aku dan krew yang lain terus menerpa ke kapal yang berada di inner MBJ untuk mendapat air dan makanan.Masih aku ingat lagi kawan satu badge 141,Ahmad Jelani menghulurkan salam dan  sesikat pisang untuk aku yang kehausan dan kelaparan.Kami dijamu makan oleh krew kapal-kapal PC yang berada disitu,yang aku ingat ialah KD Sundang...Terima kasih semua.

Beginilah keadaan KD Raja Jarom selepas tiba di MBJ. Bahagian yang terkopak dan berlubang itu ialah PO Mess,tempat dimana kali terakhir aku berjumpa dengan Arwah PO Rahman pada malam kejadian.





Petikan dari NST,berita yang kurang tepat...angka kematian dan tarikh adalah tidak betul.....



Kenangan Pahit Yang Sukar Dilupakan

19 Disember 1982,pasti akan aku ingat hingga ke akhir hayat ku...genap 31 tahun trajedi yang menyayat hati ini  berlalu ketika aku menulis coretan sedih ini...sebak aku untuk mengakhiri coretan rasa ini,rasa ingin menulis lagi,meluahkan rasa hati yang pilu...kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah pergi..Selamatlah kalian berada diSANA ,semoga suatu detik kelak pasti kita akan 'berjumpa'...In Sya Allah...

================================================

-AL-Fatihah - 

 Lest WE Forget

Raja Jarom & 3 R

Rahman-Ramli-Rahman



================================================
Kepada rakan-rakan bersama aku suatu ketika dulu dan yang masih dipanjangkan hayat,jika terbaca nukilan yang tidak seberapa ini,terima kasih diatas pertolongan dan semangat yang telah kalian hulurkan kepada aku sewaktu aku 'hilang akal'..terutamanya Ismail A.K.A Mail Kepoh tak lupa juga kepada Raja Zakaria,Che Rahim,Pak Yep,Usop Ganja,Wak Leman dan lain-lain yang tidak aku ingati nama kalian...hanya Allah saja yang dapat membalas budi dan jasa kalian.....aku ingin sangat ketemu kalian jika ada umur dan kesempatan...InsyaAllah.

==================================================

Sebelum ini, pernah aku terbaca dan dengari bahawa terdapat fakta-fakta yang kurang tepat dan cerita yang sengaja direka-reka untuk menceritakan kejadian yang tidak pernah berlaku.Terutamanya tentang tajuk video yang ditayangkan di dining hall pada masa kejadian. Hanya insan-insan yang pernah berkhidmat dan berada di atas kapal KD Raja Jarom pada waktu itu pasti tahu akan kebenarannya.....Wallah Wa'lam....



p/s: Jika ada rakan-rakan dan pembaca yang ingin berkongsi dan ingin membetulkan fakta yang mungkin tersilap,amatlah dialu-alukan...



Sekian...WASSALAM.....


Bersambung di episod yang lain pula.........

Jumaat, 13 Disember 2013

Panggilan Pulau

Alhamdulillah...detik berlalu mengukir sejarah lagi...






Permandangan Pulau Aur di kejauhan dari atas dek KD Raja Jarom nyata mengasyikkan...lambaian pepohon nyiur bagaikan memanggil aku kesana...batu batan yang berdiri megah lagi tinggi dari celahan pohon-pohon yang kehijauan seperti sedang memerhati kehadiran kami..pasir putih dipersisir pantai umpama hamparan permaidani yang indah dari mahligai....aduh..siapa sahaja yang memandang pasti terpesona...


Persekitaran yang nyaman, menyejukkan mata dengan tarikan khazanah laut yang pelbagai menjadikan gugusan pulau itu sesuatu yang unik. Pengalaman selama berada di sana  tercatit dalam diari kenangan.Tiada hiruk pikuk selain bunyi ombak menghempas pantai dan sesekali kedengaran enjin bot -bot nelayan yang sedang menyusuri lautan demi sebuah harapan...


Terletak kira-kira 70 kilometer dari timur Mersing ia merupakan salah satu dari gugusan pulau yang indah di Laut China Selatan.Sebuah pulau yang menyimpan khazanah laut yang unik dan pelbagai termasuk ikannya yang berwarna-warni serta terumbu karangnya yang menarik dan cantik.Pulau yang berhampiran dengannya ialah Pulau Dayang, Pulau Pinang dan Pulau Lang.



Ada waktu dapat aku lihat ketibaan bot yang sarat dengan muatan dan penumpang merapat ke jeti.Bot inilah satu-satunya yang menjadi media penghubung untuk penduduk pulau berulang alik ke Mersing untuk mendapatkan bekalan keperluan seharian mereka.Boleh dikatakan hampir semua penduduknya mencari rezeki sebagai nelayan.Asalnya pulau ini adalah hanya tempat nelayan berlindung dari hujan ribut.Lama kelamaan ia menjadi penempatan dan perkampungan nelayan yang damai dan yang begitu indah panoramanya.




Bot untuk ke Pulau Aur







Betapa indahnya bumi dan lautan ciptaan Tuhan





Kedudukan Pulau Aur



KD Raja Jarom mula melabuhkan sauhnya, menghadap sebuah teluk yang begitu permai dan syahdu....Allahuakhbar... inikah yang dikatakan anugerah Alam...Sungguh cantik Teluk Meriam...Aku  bersyukur padaMu Tuhan kerana memberi nikmat untuk aku menatap keindahan alam ciptaanMu..

Petugas-petugas Seaman sedang sibuk untuk menurunkan bot untuk shoring,mendarat ke pantai. Bagaikan gerombolan pendekar hendak menakluki kepulauan melayu...Aku tidak ditugaskan untuk ke pulau pada kali ini..hanya dapat menyaksikan rakan-rakan seperjuangan membelah lautan biru,meredah ombak...sayup mata memandang..bot LCA (Landing Craft Assault)yang mereka naiki selamat sampai ke pantai...

Kami tiba ke perairan Pulau Air ini selepas KD Raja Jarom terlibat dengan exercise tahunan dengan 5 negara ( Star Fish) di Laut China Selatan.Grup pertama krew KD Raja Jarom seramai 20 orang sebenar telah tiba awal ke pulau ini dengan menaiki PC ( Petrol Craft) dari Tanjung Gelang,Kuantan, diketuai oleh 2nd buffer POSM Jack Harris. Beliau merupakan 1st & Advance  Crew yang bertanggung jawab membawa pulang KD Raja Jarom dari San Diego Amerika Syarikat.Banyak pengalaman pahit manis dapat dikongsi dengan beliau sewaktu dalam pelayaran pulang dengan kapal usang ini.


Dengan bantuan Ketua Kampung Teluk Meriam,  mereka pergi menebang buluh aur diatas bukit.Buluh-buluh tersebut diikat ke atas  tong drum untuk dibuat rakit. Meriam tersebut hanya dapat dinaikkan ke atas rakit sewaktu air pasang dan ditarik masuk ke dalam  bot LCA untuk dibawa ke KD Raja Jarom. Dengan pertolongan penduduk pulau, mereka memecahkan konkrit tempat tapak tiga laras meriam purba. Meriam tersebut dikatakan berusia ratusan tahun. Mereka mengambil masa selama 2 hari untuk mengeluarkan 2 laras meriam. Terdapat 3 laras mariam purba kesemuanya. Mengikut cerita penduduk,meriam-meriam tersebut ada yang dibawa turun dari atas bukit dan ada yang dibawa naik dari dasar laut.Dari cerita-cerita itu bolehlah disimpulkan bahawa Pulau Aur pernah dijadikan kubu oleh penjajah Belanda.




LCA (Landing Assault Craft) yang digunakan untuk 
memindahkan meriam ke kapal


Betapa payahnya mereka berusaha menggunakan kudrat tulang empat kerat, untuk menarik meriam turun ke pantai.Pelbagai kaedah digunakan,batang kelapa dan buluh menjadi peralatan. Dua laras meriam purba tinggalan penjajah Belanda akhirnya berjaya dinaikkan ke atas 2 buah LCA untuk dibawa ke kapal.

Dengan menggunakan crane KD Raja Jarom,meriam-meriam tersebut dinaikkan ke atas dek. Masih ku ingat sewaktu inilah langit yang cerah terang benderang dengan tiba-tiba bertukar menjadi gelap disertai oleh tiupan angin yang kencang,seolah-olah tidak merestui pemergian meriam-meriam milik Pulau Aur.Bot LCA menjadi terumbang ambing seketika..namun segalanya dapat diselesaikan walaupun terdapat salah seorang anggota tercedera.

Terukir angka 1782 pada pangkal meriam yang berkarat itu...itulah tahun meriam purba milik kerajaan Belanda diperbuat. Setelah semua operasi selesai,kedua-dua bot LCA dinaikkan ke atas KD Raja Jarom dan terus kembali ke MBJ dengan selamatnya sejurus selepas itu.




KD Raja Jarom kembali ke Pulau Aur lagi.....

Setelah belayar selama hampir sebulan ke Malaysia Timur,KD Raja Jarom telah meneruskan pelayaran ke Port Kelang untuk menghantar kelengkapan logistik Tentera Darat yang dibawa dari Kuching.Dalam pelayaran pulang ke MBJ,sesampai di kawasan perairan Changi,Singapura tiba-tiba kapal diarahkan untuk meneruskan pelayaran ke Pulau Aur sekali lagi...kami terpinga-pinga bercampur fade-up...mabuk laut China Selatan pun belum lagi hilang...Seribu macam pertanyaan bermain-main dalam fikiran masing-masing...




                      KD Raja Jarom -penuh kenangan dan misteri..


Namun apakan daya kami...kami difahamkan arahan ini datang dari pihak Istana untuk 'merampas' selaras meriam yang masih tinggal di kampong Teluk Meriam. Pelayaran terpaksa diteruskan demi suatu arahan yang mesti dipatuhi.Kami tiba di perairan Pulau Aur pada waktu petang untuk memulakan operasi membongkar khazanah purba terakhir pulau tersebut.

Kali ini berlaku sedikit pergeseran diantara crew kapal dengan Ketua kampong.Puncanya kami tidak membawa sebarang bukti watikah yang resmi dari pihak Istana. Mereka enggan bekerjasama seperti kali pertama dulu. Mereka mendakwa meriam purba tersebut adalah hak mutlak tinggalan nenek moyang mereka. Apatah lagi nama kampong tersebut diambil sempena dengan nama meriam. kampong Teluk Meriam. Dengan penuh hiba bercampur marah Ketua kampong berkata Kampong mereka akan tidak bermakna lagi apabila kesemua meriam mereka dirampas.



Meriam Purba Belanda ini sama bentuknya dengan meriam khazanah Pulau Aur


Tanpa restu dan kerelaan,mereka terpaksa juga lepaskan khazanah purba mereka...Suasana sudah menjadi suram...kedengaran juga suara-suara 'amaran' dari penduduk pulau yang turun beramai-ramai membantah.Ada yang berpesan supaya kami beringat.." Berhati-hati...ini meriam puaka ni"...cerita rakan ku yang terlibat untuk kali kedua dalam operasi ini. Meriam yang ini agak besar sikit,tertera juga angka 1782 pada pangkalnya..

Namun operasi kali ini tidak selancar yang dulu...dalam proses menaikan meriam 'terakhir' ini,tiba-tiba crane buat hal ...boom sebelah port ( kiri) kalau tak silap aku,telah jammed...tidak dapat kembali ke posisi asal.Puas dicuba untuk diperbetulkan,namun usaha menemui kebuntuan. 

Nampaknya 'penunggu pulau' ini telah murka seperti yang telah digambarkan oleh penduduk pulau. Akhirnya C.O KD Raja Jarom,Commander Zainal Dali memberi command supaya kapal meneruskan pelayaran balik ke MBJ,Singapura dengan segera...Maka belayarlah KD Raja Jarom dengan 'lengan' yang terjulur keluar. Crew EM ( Electrical Mechanic) telah mengambil inisiatif untuk memasang navigation light disebelah hujung boom tersebut untuk memberi peringatan kepada kapal-kapal lain apabila memasuki selat Singapura kelak.Sebenarnya ada lagi beberapa insiden pelik yang berlaku ke atas KD Raja Jarom pada waktu itu yang aku tidak ingati.

Semasa operasi-operasi membongkar dan memunggah meriam purba ini aku tidak terlibat sepenuhnya. Aku bertugas sebagai watchkeeper sepanjang masa.Cuma bila saja ada peluang dan kesempatan,aku dan rakan-rakan akan  membawa bot rubber dinghy untuk diuji sambil mengelilingi dan menikmati keindahan pulau pulau berdekatan yang memang amat memukau....

Selamat tinggal Pulau Aur......


Itulah saja secebis kisah dari sebuah pulau yang penuh misteri yang masih dalam memori.....





Selasa, 10 Disember 2013

Meredah Samudera...


Aku mengikuti kursus Class 2 pula untuk melayakkan aku  memulakan perkhidmatan di kapal TLDM...mesti lulus semua subjek engineering,termasuk juga ujian kawad.kalau gagal alamatnya kena stay back sampai lulus...Alhamdulillah aku lulus dengan jayanya.


Setelah 6 bulan berkursus di cawangan teknikal KD Pelandok,kini tiba masanya untuk kami draft ke kapal. Namaku telah tersenarai untuk memulakan karier aku sebagai seorang ODME atau Laskar Muda branch M.E...Marine Engineering, di sebuah kapal yang di namakan KD Raja Jarom yang perpangkalan di Woodlands,Singapura. Angan-angan aku untuk menjadi seafarer dan berlayar di lautan luas kini sudah hampir pasti tercapai.






                                   Kenangan di Blok D13





















Teman-teman seperjuangan,kenangan di kedai gambar  pekan Lumut
Duduk : Ust Din,Jamri (Bui)
Berdiri:Arwan Man Melaka,Aku,Alias Capt dan Zali





Menyeberangi Tambak Johor


Teringat aku mula-mula menyeberangi Causeway apabila dibawa oleh bapa saudaraku ke Marsiling,Singapura sekitar tahun 1965 - Arwah Long Abdullah bin Long Mamat bapa saudaraku adalah juga bekas anggota RMN .



Barrack TLDM Woodlands suatu masa dulu


Setelah melapokan diri di BCC (Barrack Command Center kalau tak silap), KD Malaya,Woodlands,aku diberitahu bahawa KD Raja Jarom berada di limbungan MSE Pasir Gudang. Kapal tersebut sedang dalam menjalani proses refurbish atau proses baik pulih sepenuhnya,maklumlah kapal usang yang diperolehi dari  tentera laut Amerika Syarikat. Nama asalnya ialah USS Sedgwick County LST 1123, Landing Ship Tank. Kapal logistik dan pengangkut yang pernah berkhidmat di Vietnam dan Korea semasa WW2...perang dunia ke 2. 

Antara kapal-kapal yang sekelas dengannya yang beroperasi dalam armada TLDM semasa itu ialah KD Sri Banggi  ( USS Henry County,LST 824 ) dan KD Sri Langkawi (USS Hunterdon County, LST 838 ). Rakan-rakan seperjuanganku yang turut sama di draft kan ke Kd Raja Jarom sebagai ODME ialah Che Rahim,Raja Zakaria dan Mail Kepoh,Rahim Sitiawan dan Mat Nor Muyok. Kami ditempatkan di 'B' Block buat sementara waktu sementara kapal siap dibaik pulih di limbungan MSE.

Berulanglah kami ke MSE Pasir Gudang setiap hari dengan 3 tonner mercedes 'luxury coach'.. trak usang yang menjadi transport dari RMN Naval Barrack, Woodlands... Kemudiannya setelah bilangan crew selain KD Raja Jarom, KD Rahmat dan KD Hang Tuah yang turut 'sakit'  bertambah,maka tug boat KD Penyu dan KD Ketam,Mara Boat, bot Selar dan sekali sekala bot RCP yang berceloreng  silih berganti ditugaskan pula untuk mengangkut kami. Kami dibawa 'belayar' setiap hari....menyusuri Selat Tebrau yang sangat indah panoramanya .Kami melalui pesisir 'Stokin Lee Kwang Yu' ( Sembawang Power Station) dan Sembawang Shipyard ( SS).Sekali sekala pandangan aku tertoleh kebelakang menyaksikan tambatan MBJ dan Causeway yang menjadi nadi penghubung antara Tanjung Puteri,Johor Bharu dengan Woodlands,Singapura.



Good Old Days..KD Raja Jarom ,Ex USS Sedgwick- kapal usang WW2..max speed 10 knots....adoii...slow nya...

"Realising the need for larger logistic transports than was available at the time, the RMN obtained the KD Sri Langkawi as their first Landing Ship Tank (LST) class vessel. The 511 class LST was initially loaned buy the US navy to the RMN in 1971 but purchased outright later in 1974. She was actually a replacement for her namesake, the much smaller LSM-sized British LCT Mk 8. The KD Sri Langkawi was herself finally scrapped n the 1980's. The two later bought LSTs were named after islands off Sabah and called KD Sri Banggi and KD Raja Jarom. They were used as tenders to the light forces such as patrol boats during operations and as a troop transport for security forces between Peninsular Malaysia and Sabah and Sarawak. Built for the United States Navy in 1944, the ships were in service during the Vietnam War before they were sold to Malaysia on October 7, 1976. The decks of these 103-meter vessels have been modified for helicopter landings midships and each LST has capability to carry up to 2,100 tonnes of cargo. Both the ships were decommissioned in 1999, after carrying numerous amphibious operations with the nation's armed forces and joint operations with foreign armed forces, as well as providing hands on training for naval officers" 



 KD Penyu yang menjadi feri ke MSE Pasir Gudang.


 Nostalgia Malaysian Base Jetty yang 'hidup' suatu masa dulu..

"Located within the restricted compounds of the former naval base, the RMN Jetty was opened in 1966. It was 400m long, including an outer arm of 735 feet (approximately 224m) in length. Also known as Malaysian Base Jetty, it was used regularly by the RMN, including events such as commissioning of new ships. Following the shifting of RMN to Johor in 1981, the naval base and its jetty was left vacated until 1997, when the Malaysian government agreed to transfer the properties to Singapore."... A Tale of Jetties & Piers.
Sumber: http://remembersingapore.wordpress.com/2012/10/01/jetties-and-piers-of-singapore/

Suatu senja di Malaysian Base Jetty 





MBJ sekarang - Sunyi sepi tanpa kehidupan seakan tidak bernyawa lagi setelah diambil oleh Kerajaan Singapura.
( tempat aku mengail ikan kitang sebelum colours)




Woodlands mengamit kisah-kisah lama 
( port menunggu minah karen cop passport)

                      
                 

Those were my days....





                       Bersama pekerja limbungan MSE Pasir Gudang 



Besi buruk semasa berada di Dry Dock MSE,Pasir Gudang


                      Kenangan bersama Mat Nor diatas Rubber Dinghy..



Sesekali dapat juga terbang dan berlakon  sebagai co-pilot pesawat Nuri yang mendarat di heli deck Kd Raja Jarom  semasa Work-up..



                                            Pesawat Nuri atau Sikorsky S-61 



   
  Sempat juga posing tu..gambar untuk dipos ke kampong...




Yang bertanda tu akulah,semasa KD Raja Jarom 
menjalani Work Up...




 
Happy go lucky...ODME 809566 T.S  on watch  
(Ordinary Marine Engineer)  




Hari-hari yang berlalu bersama KD Raja Jarom


ODME 809566 T.S
Kenangan bersama ABME Suhaimi dalam ME's Mess KD Raja Jarom

Rakan karib Ismail Abd Rahman A.K.A Mail Kepoh



Pelayaran sulung aku semasa onboard KD Raja Jarom ialah semasa kapal melakukan Sea Trial disekitar  perairan Singapura melalui Changi dan Open sea selama 1 hari....seronok,inilah pertama kali aku dapat merasa suasana sebenar belayar. Kami hanya dibekalkan dengan nasi bungkus kerana galley ( dapur kapal ) belum dapat beroperasi sepenuhnya.

Setelah beberapa kali membuat sea trial,sampai masanya KD Raja Jarom di commision semula dan keluar dari MSE Dock untuk menyertai armada TLDM setelah didapati Sea Worthy atau layak untuk belayar.

Maka belayarlah aku ke laut luas bermula di MBJ Woodlands ke Tanjung Gelang,Kuantan. Entah apa misi aku pun tak berapa ingat. Rasanya membawa troop New Zealand Army yang membuat exercise bersama Tentera Darat somewhere dalam hutang Pahang. Bermulalah episod sea sick atau mabuk laut apabila KD Raja Jarom melintasi garisan 109,(garis bumi antara semenanjung dengan Sarawak yang aku pun kurang arif tentangnya).

Destinasi kami kali ini ialah untuk ke pelabuhan Pending,Kuching,Sarawak.Pengalaman pertama aku mabuk laut atau dalam istilah pelayar ialah mabuk free...aduh...peritnya apabila kesemua isi perutku tersembur kedalam bilges engine room....namun aku tetap berpegang pada pepatah melayu...alah bisa tegal biasa....itulah kata-kata melayu yang aku pegang.Lama kelamaan aku sudah biasa dengan keadaan laut,aku dah tak mabuk lagi....baru nak belajar menjadi 7 seas sailor katakan....

Namun segala-galanya terubat apabila aku dapat menjejaki kaki ke bumi kenyalang ini. Bila shore leave , iaitu kelepasan yang diberikan kepada anak-anak kapal,aku tidak melepaskan peluang untuk bersiar siar di sekitar bandar Kucing bersama-sama rakan-rakan yang tidak bertugas untuk Harbour Routine.

"Kelepasan diberikan kepada anak-anak kapal yang tidak bertugas mulai dari sekarang hingga 0700H " ,begitulah announcement yang dibuat oleh Duty Officer menurusi broadcast kapal.

Kenangan camping bersama crew ME's Mess di Tanjung Lembu / Jason Bay.
Berdiri dari kanan...LR( lupa nama...bukan crew KDRJ),ODME Rahim, LRME Sharif Lobo,ODME Raja Zakaria,ABME Jasni,ABME Usop Ganja,ODME Wak Sulaiman.
Duduk dari kanan...ODME Mail Kepoh,ODME Che Rahim,Aku,ABME Hamid,
ABME Jailani.Duduk paling hadapan...LRME Yusof.


                                                  Bot Jumbo Sibu-Kuching



Mazda RX7-Labuan


"Today will be tomorrow & tomorrow will be yesterday and those  my wonderful colours of  old days will never ever faded "..TSS...