Isnin, 9 Disember 2013

Kampung halaman ku tinggalkan...






Alhamdulillah syukur kepada ALLAH  Yang Maha Agong ,Yang mencipta petala langit dan bumi,Yang memberi kenikmatan hidup,Yang mengurniakan manusia akal fikiran untuk berfikir dan bersyukur lantas bersujud kepada mu ya Allah.

Dengan limpah dan keizinan dariNya, masih aku diberi nikmat dan kemampuan menyusuri denai dan onak duri sebuah pentas kehidupan. Coretan ini  sekadar mengabadikan suatu perjalanan hidup yang aku susuri diatas muka bumi ALLAH SWT ini. Biarlah sejarah hidupku ini menjadi suatu ukiran kata yang terpahat rapi, abadi dalam diari ku. Mekar menghiasi sanubari selagi masih ada ruang-ruang kehidupan kurniaanNYA. Biarlah nukilan rasa yang tidak seindah seloka bertinta emas ini menjadi tatapan buat anak cucuku dan insan-insan yang sudi menatapinya...In Sya Allah..


Lembaran Baru Bermula......

Aku tinggalkan kampung halaman demi mencari sesuatu lapangan hidup yang belum pasti. Harapanku tinggi mengunung untuk mencorak dan mewarnai warna warni kehidupan yang terbentang luas dibumi milik Allah ini... Aku tidak lagi ingin kegagalan lalu menjadi titik noktah dalam hidup. Aku tidak lagi mahu membenani kedua-dua orang tua ku...maafkan anak mu ini wahai ibu dan ayah,aku telah mengecewakan kalian. Aku tidak mampu untuk mengiringi rakan-rakan seperjuangan ke menara gading.Apalah sangat yang dapat ku harapkan dengan taraf 3rd grader dalam MCE (Malaysian Cert. Education ). 


Tanggal 10 July 1980,bermulalah suatu episod baru dalam hidup aku sebagai seorang tentera laut. Segala-galanya bermula di Pusat Latihan Rekrut KD Pelandok , Pangkalan Tentera Laut Di Raja Malaysia Lumut , Perak Darul Ridzuan.

Keretapi yang aku naiki perlahan-lahan meninggalkan stesen Pasir Mas dengan penuh pilu dan hiba beriringan lambaian perpisahan dari insan-insan tercinta. Ya Allah,selamatkanlah perjalanan ku ini,selamatkanlah kedua ibu bapaku dari segala bahaya.Doakanlah kejayaan anakmu ini...Selamat tinggal ibu,selamat tinggal ayah,selamat tinggal adik-adik ku,selamat tinggal teman....janjiku,pulangku nanti bukan pulang aku yang dulu..lihatlah nanti...





Selamat Tinggal Semua...



Kami disambut oleh petugas beruniform tentera laut di stesen keretapi Ipoh. Kelihatan beberapa buah bas dan trak tentera menanti ketibaan kami. Aku dan beberapa orang rakan yang ku kenali semasa didalam perjalanan dari Pasir Mas, Gemas ,Kuala Lumpur tiba di stesen keretapi Ipoh. Kamal Ganu,Azmi Bakong dan lain-lain yang tidak aku ingati.

Hari pertama menjejaki kaki di pusat latihan ini sudah terasa akan bahangnya.Kami dilayan seolah-olah banduan yang baru diserahkan ke penjara untuk menjalani hukuman.Tiada kata-kata enak untuk didengari dari para instructor yang menyambut kami. Hanya jerit pekik yang menjadi halwa telinga.Entah apa pangkat yang mereka pakai,aku pun tidak memahaminya. Arahan demi arahan kami terima dengan penuh taat.

Kami diberi taklimat ringkas oleh petugas sebelum kami dihidangkan makan tengah hari pertama di dewan makan. Kami ditempatkan di dormitori 4 tingkat,blok kediaman yang kelihatan baru. Muka bumi KD Pelandok pun kelihatan gersang,masih belum ditumbuhi rumput.Tempat ini masih baru rupanya...fikirku.
Kami adalah intake ke 3 (141),selepas pusat latihan rekrut dipindahkan dari Woodlands,Singapura. Intake 139 telah pun passing out sebelum ketibaan kami lagi. Kumpulan Intake 140 merupakan senior 3 bulan lebih awal dari kami. Kami dipisahkan dorm dengan mereka agar kami tidak dibuli.

Hari kedua selepas sarapan pagi,kami berbaris untuk ke sick bay sementara yang terletak bersebelahan dengan D3. Tujuannya ialah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh atau PULHEEMS yang bermaksud:  Physical capacity, Upper limbs, Lower limbs, Hearing, Eyesight left, Eyesight right, Mental capacity, Stability-emotions. Tidak disangka pemeriksaan ‘anu’ pun dilakukan.Kami dipaksa londehkan seluar dan diarahkan untuk batuk beberapa kali. Entah apa sebenarnya tujuan aku pun tidak tahu. Mungkin untuk menguji kejantanan kami....mungkin !


Tempoh enam bulan disini bagaikan seribu tahun dirasakan..... dilanyak,diherdik,dimaki siang dan malam tanpa salah silap . Itulah santapan kami sebagai seorang rekrut disepanjang tempoh itu. Bangun seawal 5 pagi untuk menjalani latihan jasmani atau dikenali dengan 'PT' dikelolakan oleh PTI , Physical Training Instructor yang cukup dedikasi untuk menguji ketahanan fizikal kami pada setiap hari..."position down...down.......up.down-up-down"...arah PTI dalam kegelapan awal pagi....Ini untuk memastikan agar kami betul-betul fit sebagai seorang tentera.

"Dengar sini rekrut.....apabila kamu menerima arahan SEDIA,kamu hendaklah merapatkan kedua-dua kaki kamu,tangan bawa kehadapan ke sisi badan kamu dalam keadaan lurus , langut dan diam...FAHAM TU REKRUT...FAHAM TU REKRUT"...jerit G.I Kamal...dengan lantangnya... cukup bengis ....'berantai'...itulah perkataan yang mengecutkan perut setiap rekrut..(G.I bermaksud Gunnery Instructor)....itulah lebih kurang jeritan yang merupakan arahan beliau yang masih aku ingat...Berkawad pagi petang...rutin yang cukup membosankan aku. 

Kekadang..terlintas juga dibenak fikiranku....menyesal aku masuk tentera kalaulah ini yang terpaksa dihadapi setiap hari...Namun fikirku pula..Alang-alang menyeluk pekasam,biar sampai kehujung lengan...Alang-alang berdakwat biarlah hitam....Alang-alang berminyak biar licin...pesan orang tua tidak akan aku lupakan selagi hayat dikandung badan..Kini aku bukan lagi seorang Civilian,aku seorang anggota TLDM yang memegang Bat C 10 ( IC Tentera).




Cetusan rasa yang masih tersimpan lusuh selusuh hati ini...



Tiada warna-warna yang indah untuk digambarkan dalam episod-episod ini. Namun aku sedar disebalik semua itu,banyak yang telah mengajar aku tentang kehidupan,tentang erti kesabaran,menjadikan aku seorang yang taat,seorang yang tabah dan berani untuk menyusuri denai-denai kehidupan hingga ke saat ini.




BARISAN KITA
Inilah barisan kita
Yang ikhlas berjuang
Siap sedia berkorban
Untuk ibu pertiwi

Sebelum kita Berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah pendekar kita
Menuju medan bakti

Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas puara
Kami mohon doa
Malaysia Berjaya

Semboyan telah berbunyi

Menuju medan bakti....
Rekrut-rekrut di dorm H- 'Hotel'...aku berbaju biru berdiri tengah 
Dari kiri depan; Shukri,Sulaiman,jamal,Zali,Abu Chik.Tengah dari kiri,Zaki,arwah Noramad,Rozlan,Babjan.Berdiri; Pauzi,aku & Hadri.

                                          Hari pertama sampai....kurus kering

Lebih kurang sebulan selepas itu...badanku berisi,exercise cukup,makan pun cukup dan ikut waktu...




 Aku...squad down ..first from the right....sebelah tu Jamri Othman..Pakaian No. 1 Dress masa 'POP'..Passing Out Parade...pakaian resmi LLP ( Lain2 Pangkat) @ baju raya...









No 1 Dress bergambar didepan  Drill Shed 







SIXES - No 1 Dress..aku pasti bangga memakainya...





Tamat Sudah Suatu Episod...

Gembira berbaur sedih....yang gembiranya,kami telah berjaya melalui semua latihan yang mencabar kemampuan fizikal dan minda .Tiada lagi PT,tiada lagi morning parade...pendek kata semuanya telah dapat aku lalui dengan penuh ketabahan...Sedihnya pula bila aku tidak tersenarai dalam kumpulan apprentice seramai 20 orang yang akan melanjutkan latihan ke HMS Nirimba,Australia...tiada harapan untuk ke luar negara....sedih kerana nama aku yang awalnya terpilih telah ' ditendang' oleh insan-insan yang mempunyai saudara mara yang berpangkat di dalam perkhidmatan. 

Aku dan seorang lagi rakan memang kurang bernasib baik.Nama berabjad paling bawah 'S'....sahabatku Sulaiman dan aku 'T' ...Tuan S..aku redha sebagai ketentuan. Itulah cabaran awal aku. Maka aku teruskan juga latihan lanjutan ' Class 2' di Sekolah Kejuruteraan Marin,KD Pelandok sebagai ODME (Ordinary Marine Engineering). Surat-surat panggilan yang diterima berkaitan permohonan sebelum cop jari dan akujanji sebagai tentera terpaksa aku lupakan.Sudah terlambat bagi ku untuk menongkah arus....Antaranya peluang ialah untuk belajar di maktab perguruan dan lain-lain. Memang sudah suratan, memang sudah kententuan dariNya..






Nota-nota lusuh yang masih tersimpan semasa rekrut



Alhamdulillah..Tamat sudah riwayat kehidupan aku sebagai seorang rekrut selepas ini....Selamat tinggal KD Pelandok...Sayonara Cpt Nick Peterson ( CO ),Lt Cdr Mat Zain,MCPO Onn,G.I Kamal,GI Veloo,G.I Ayob ( paling best) ,G.I Omar, PO Idrus dan instructor yang lain-lain yang tidak aku ingati...Ada dikalangan mereka aku ingati kerana ' keganasan' mereka...ada yang diingati kerana understanding mereka..Namun inilah insan-insan yang membina semangat dan jatidiri untuk bekalan kami berkhidmat demi  nusa dan bangsa...seraya slogan Tentera Laut DiRaja Malaysia.." SEDIA BERKORBAN"...


                                                      








Hari yang amat bersejarah bagi Intake 141/1980....Passing Out Parade...aku tidak kelihatan kerana berada dalam barisan tengah...





SAMUDERA RAYA

Semboyan Angkatan Laut kita
di Samudera Raya
menjaga Pantai Ibu Pertiwi
dari Angkara Murka

Dari barat sampai ke timur
itulah Pantai Malaysia
tiap saat berjaga
di tengah Samudera Raya

Perwira dan Satria
Angkatan Laut Diraja

Dengar lagu Samudera Raya







FIRST ADMIRAL (R) DATUK NICK PETERSON
( CO KD Pelandok pada waktu itu yang menyandang pangkat Captain)







Pintu Masuk Harimau 3 dari arah bandar Lumut ke Pangkalan TLDM sekarang





Kincir Angin Bandar Tentera Laut Lumut.
 Senja Yang Mengamit Seribu Kenangan.. 




Sekadar itu yang masih dalam ingatan....Wassalam...

Ps:Jika ada sebarang komen atau pembetulan fakta dari rakan-rakan dan kenalan amat dialu-alukan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan