Selasa, 17 Disember 2013

Kisah-kisah yang suram.....

Sedang mereka,anak-anak kapal KD Raja Jarom yang tidak bertugas sedang leka menonton tayangan filem " Grease 2" lakonan John Travolta dan Olivia Newton John di dining hall,aku nun di engine room untuk menjalankan tanggung jawab ku sebagai seorang watchkeeper dalam awasan First Watch iaitu dari 2000H hingga 0000H.( 8.00-1200 mlm).

Tugas aku adalah untuk memastikan semua jentera,main engine,generator,pump dan auxiliaries machinery  berfungsi dengan baik,disamping membuat round correct pada compartment kapal yang telah ditetapkan pada setiap jam.Sebarang failure pastinya akan menganggu sistem pelayaran sesebuah kapal.

Round Correct

Sebelum membuat round correct sempat juga aku melawat 'PO' Mess ( kamar tidur untuk Senior Rates) untuk memastikan mana satu 'bunk' PO Rahman tidur,kerana dia suka berpindah tempat. Selepas solat magrib berjemaah di surau,beliau sempat berpesan pada aku agar mengejutkan beliau lebih awal sebelum masuk duty sebagai Duty ERA untuk Middle Watch iaitu dari 0000H-0400H (12.00mlm-4.00 pagi) menggantikan watch kami.Maklumlah kalau aku lewat pasti sukar aku untuk mencari beliau kerana selepas Pipe Down ( 10.30 malam),hanya Pilot Light  (warna merah) sahaja dibenarkan untuk dinyalakan pada sesebuah kapal perang.

Namun aku tidak sempat menyapa PO (Petty Officer) Rahman kerana beliau telah tertidur di atas bunk bersama senaskah kitab Suci Al Quran yang ku lihat terbuka, terlangkup di atas dada beliau. Kaku aku sejenak melihat keadaan beliau. Allahuakhbar betapa luhur dan tenang sekali wajah PO Rahman...memang dia seorang yang warak dan beriman,begitu taat mengerjakan perintah dan suruhan Allah SWT.Aku begitu senang kalau bertugas satu awasan dengan beliau,seorang yang suka bergurau dan banyak memberi nasihat dan pedoman tentang agama pada aku...aku selalu ditegur kerana tidak turun untuk bersama solat  berjemaah di surau KD Raja Jarom...terima kasih sheikh...itulah yang selalu aku ucapkan kepada beliau...

Sesudah itu aku keluar dari Po Mess untuk membuat lawatan ke tempat lain pula.Aku melalui Dining Hall sambil membuat 'round correct' di Steering Gear Compartment. Apalagi..aku tanpa melepaskan peluang,aku mengambil kesempatan untuk singgah sejenak menonton filem yang sedang ditayangkan itu. Apa tidaknya kisah cerita Grease ini aku ikuti dan tonton dari episod 1 lagi. Filem Grease 1 pernah aku tonton bersama-sama Cikgu Din sepupuku ditemani oleh rakan-rakan beliau yang sama menuntut di Maktab Perguruan Lembah Pantai. Lupa pulak apakah nama panggung wayang yang terletak di Petaling Jaya itu. Ianya sebelum aku memasuki Navy lagi iaitu pada tahun 1978.

Pasangan Sandy Olsson ( Olivia) dan Danny Zuko ( John Travolta ) memang aku minati sangat lagu-lagu yang mereka dendangkan seperti Hopeless Devoted To You dan You're The One That I Want. Sesiapa yang pernah melalui zaman 'Saturday Night Fever' pasti tidak akan melupakan lagu-lagu ini juga saat-saat manis pada waktu-waktu itu...

Aku tidak pasti pukul berapa waktu itu,namun aku terpaksa bergesas turun kembali ke bawah kerana rakan setugasku ODME Raja Zakaria sedang keseorangan di Generator Room......Lantas... belum pun sempat kakiku memijak dek engine room.....BOOOOOOMMMMMMMM....tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran membuatkan aku jatuh terguling disebelah hatch,satu-satunya pintu masuk ke engine dan generator room. Kepalaku terhantuk menyebabkan aku kepeningan....aku cuba bangkit...tiba-tiba Hull KD Raja Jarom bergegar lagi akibat dentuman kedua....sejurus selepas itu kedengaran lagi dentuman yang ketiga yang agak perlahan dari yang sebelumnya disusuli dengan bunyi geseran besi yang amat ngilu...Aku sempat berpaut pada tangga dalam kebingungan....aku pegang kuat,takut terjatuh lagi....

Dalam keadaan terkejut aku tidak tahu apakah malapetaka yang sedang berlaku,aku berlari ke ruang Generator Room untuk mencari rakanku Raja Zakaria...petugas-petugas yang lain tidak ku ketahui dimana mereka. Ketika aku temui rakanku itu,dia sedang menahan kesakitan akibat terjatuh hasil impact yang amat kuat tadi.

Kami menjadi tidak menentu....kedengaran desiran seakan-akan bunyi air yang sedang memasuki compartment generator room....panik,takut,buntu membuat kami hilang arah....tiba-tiba...looooopppp....keadaan menjadi gelap gelita.....blackout ....

Ya Allah Ya Tuhanku aku berserah padaMU...mungkinkah ini penghujung nyawaku...terlintas dalam benak fikiran ku...tiada apa yang aku fikirkan..hanya menunggu dan menunggu dalam kegelapan...

Jentera utama masih beroperasi dengan baik walaupun generator telah terputus bekalan letrik.Hanya lampu-lampu panel pada jentera Deutz saja yang kelihatan...merah dan hijau...Aku dan Raja Zakaria tanpa menerima arahan terus reset balik generator dalam keadaan meraba raba....dengan harapan agar lampu-lampu kembali akan menyala...boooooommm lagi sekali letupan kuat kedengaran..keadaan kembali gelap.....berlaku short circuit kemungkinan akibat dari tindakan kami itu...


Bagaikan berada dalam mimpi.

Kami masih kebingungan...tidak kami ketahui apakah yang sedang berlaku...aku ketakutan dalam kegelapan...aku hanya berserah pada Allah apa yang akan terjadi selepas ini.....desiran air memasuki kapal makin kuat ku dengari...Ya Allah..Ya Allah..Ya Allah...sekiranya inilah pengakhir nyawaku...aku berserah pada MU... 

'Raja.....adakah kita akan mati?' tanyaku....dia hanya membisu seribu bahasa...menunggu..menunggu...menunggu..apakah yang bakal berlaku...Gelap,panas,overall telah dibasahi peluh...tidak dapat aku gambarkan betapa takutnya aku...Tiada jalan untuk kami keluar...kami sudah kehilangan arah....aku dan Raja Zakaria agak lama juga berada dalam keadaan sedemikian...tidak aku pasti berapa lama...hanya Allah saja yang Maha Mengetahui...aku semacam sudah berada di alam yang lain....

Tiba-tiba mataku terpandang kilauan cahaya yang cerah datang dari arah hatch engine room....kedengaran suara orang memekik mekik memanggil manggil sahut menyahut...".sapa ada disini..sapa ada disini" ...Allahuakhbar..aku masih hidup rupanya...Sayaaaaa....sayaaaaa...aku  dan Raja menyahut sekuat hati....

Maaf wahai rakan-rakan..aku telah lupa siapakah kalian yang menjadi search & rescue party,turun untuk mencari kami...terima kasih..hanya itu yang dapat aku ucapkan...

Rupanya hanya tinggal kami berdua saja dibawah...petugas-petugas yang lain telah awal-awal lagi naik menyelamatkan diri masing-masing...aku dan rakanku tadi dipapah naik keatas dalam keadaan shock...seolah-olah hilang ingatan...tidak mengetahui apakah yang sedang berlaku...

Krew KD Raja Jarom sebenarnya telah fall out dari emergency station,mereka telah bersurai dari berkumpul di Life Raft masing-masing setelah kapal didapati tidak akan tenggelam walaupun arahan Abandon Ship telah dikeluarkan oleh Commanding Officer (CO). Seorang yang boleh aku katakan pengecut,sombong dan tak sedar diri.Manusia yang paling bongkak pernah aku temui.Kenapa aku berkata begitu?..Tanyalah krew-krew KD Raja Jarom yang masih hidup hari ini yang sama-sama melalui hari-hari yang sukar dibawah pemerintahan beliau...Beliau dengan sombong menolak bantuan dari Singapore Rescue Boat yang cuba datang membantu...perkara ini berlaku didepan mata aku....



Kasih seorang sahabat

Sesampai di dek atas...rakanku Mail Kepoh berlari menyambutku...aku dipeluk (sebak aku ketika ini mengingati saat itu)..aku memang rapat dengan beliau...Alhamdulillah Jie kau masih hidup,merah mata beliau ku lihat  tidak dapat menahan kesedihan,sambil menepuk-nepuk belakangku..Aku masih kebingungan...apakah objek besar berwarna hitam berada di hadapan KD Raja Jarom?...siapakah makhluk-makhluk yang berpakaian rain coat kuning itu?...kenapakah mereka bercakap-cakap dalam bahasa Jepun?

Mail memberitahu aku.." Jie...kapal kita telah berlanggar dengan Shuyo Maru..tu dihadapan kita tu...lihat tu"..sambil menunjuk kearah tulisan Shuyo Maru yang jelas kelihatan....Ya Allah,aku seakan sedar dari lamunan...aku bukan bermimpi...baru aku tahu apa yang berlaku sebenarnya...Terima kasih sahabatku..terima kasih...Alhamdulillah.....

Rupanya krew-krew Shuyo Maru sedang bertungkus lumus membuat boundry cooling cuba memadamkan kebakaran yang tercetus akibat collision yang berlaku itu....Aku lihat krew KD Raja Jarom masih kelam kabut di atas dek...ada yang berteriak,ada yang menangis...ada yang sudah ingin terjun ke laut...dalam riuh rendah aku ternampak salah seorang krew yang berpangkat Leading Hand dalam keadaan panik...selain pakai Life Jacket dia juga menyarung Life Bouy...bukan satu..tapi dua....sampai hari ini aku tersenyum dalam kesedihan seorang diri bila mengenangkan peristiwa itu.


 Mail....terima kasih




Memadam kebakaran...

MCPO Lee mengarahkan kami untuk kembali turun ke tank deck untuk membantu memadam kebakaran barang-barang yang terdiri dari kelengkapan rumah seperti perabut yang hendak dibawa ke Lumut . Aku ,ABME Yusop dan lain-lain terus bergegas turun...Waktu itu api tengah marak,kami menyabung nyawa untuk memadam kebakaran tersebut...Hanya Tuhan saja yang tahu betapa penatnya kami pada waktu itu...Alhamdulillah,berkat kepakaran dan latihan fire drill,kami berjaya padamkan kebakaran tersebut beberapa ketika selepas itu...



Love Letter

Kami kembali naik ke dek atas  setelah dipastikan api telah betul-betul padam...usaha search and rescue diteruskan untuk mencari beberapa orang anggota yang missing...sayup-sayup kedengaran suara anih dari arah Starboard Side kapal....kami semua terpinga-pinga memandang satu sama lain..." Amma...Appa..Amma..Appa...help me..help me"..kedengaran suara yang seolah-olah tidak bermaya .Salah seorang daripada kami memandang ke bawah bahagian yang remuk dan terkoyak akibat rempuhan Shoyu Maru...ternampak seorang anggota sedang cuba memanjat ship side untuk naik keatas. Setelah aku amati,barulah aku cam,beliau ialah POERA Chelvam, rakan keturunan India yang selalu aku usik kerana kesopanannya.Beliau sudah sekian lama terperangkap di bilik Machine Shop.Beliau berjaya dikeluarkan sejurus selepas itu melalui ship side kerana pintu dari arah dalam tidak dapat dibuka lagi...rupa-rupanya, waktu kejadian, POERA Chelvam sedang keseorangan di bilik tersebut,asyik menaip love letter kepada minachi...surat itu kami temui masih terlekat di type writter beberapa hari selepas itu.



Jasad terkujur

Dari jauh aku memerhati beberapa orang shipwright sedang memotong hull kapal yang remuk dengan menggunakan oxy cutter..ada suara membisikkan pada ku .." ada orang terperangkap"..aku pun lupa siapakah yang membisikkan pada ku....aku meninggalkan lokasi untuk mencari seteguk air...meraba-raba dalam kegelapan di galley...tiada apa yang aku jumpai...malah keadaan galley semasa itu tunggang langgang,berselerak akibat dicerobohi oleh insan-insan lain yang dahaga dan kelaparan.Aku terpaksa menahan lapar dan dahaga untuk seketika...

Bila aku keluar semula ke geladak atas....aku ternampak beberapa orang sedang mengerumi sesuatu...satu jasad terbujur....PO Ramli telah kembali ke rahmatullah...beliaulah yang dikeluarkan dari celahan besi yang remuk itu...semoga rohnya dicucuri rahmat...berbahagialah diSANA....


Arwah merupakan salah seorang anggota shipwright yang hanya menumpang KD Raja Jarom untuk bertukar ke Lumut.Aku baru saja mengenali beliau dari dekat apabila beliau menumpang KD Raja Jarom bersama motosikal kesayangannya..Honda CB Four 500 berwarna hitam.Motosikal ini juga remuk dan terbakar akibat pelanggaran itu.Sejak sekian lama aku telah memerhati beliau menunggang CB Four ini semasa di Woodlands,namun aku tidak berpeluang untuk mendekatinya walaupun motosikal ini menjadi idaman ku. Beliau pergi bersama motosikal kesayangannya.....Al-Fatihah..Sedih tidak tertahan bila aku dan Mail mengadap sebujur jasad dalam hujan yang renyai-renyai seolah-olah alam juga turut bersedih akan kejadian yang menimpa kami....kami menunggu arwah sampai pagi...



KD Indera Sakti tiba...

Dalam keadaan letih,lapar,dahaga...suasana lebih menjadi pilu apabila seorang lagi Senior Rates ditemui tersepit di bunk PO Mess. Allahuakhbar tak sanggup rasanya untuk melihat beliau pergi dalam keadaan yang menyayat hati...Beliau ialah PO Shipwright Rahman yang juga menumpang KD Raja Jarom untuk ke Lumut.

2nd Buffer PO Jack Harris kelihatan sedang sibuk mengutip saki baki cebisan-cebisan anggota badan arwah.Beg plastik kelihatan tergantung di pinggangnya.Beliau tanpa takut dan segan silu melakukan tugasan dibantu oleh beberapa rakan...respect betul aku kepada PO Jack Harris.

Pagi menjelma dalam kesedihan,kelihatan dua buah kapal Petrol Craft dan KD Indera Sakti dikejauhan.Jasad yang kaku dipindahkan ke PC tersebut,lupa aku akan nama kapal ronda tersebut.Kami masih mencari-cari seorang lagi rakan yang belum ditemui iaitu POERA Rahman yang aku ceritakan pada awal nukilan ini.Insan yang beriman dan sentiasa bertakwa pada Allah SWT....mungkinkah akulah yang terakhir melihat beliau? Hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui...namun hingga kesaat itu,beliau masih tidak ditemui.Yang aku temui selepas KD Raja Jarom berjaya ditarik ke MBJ ialah cuma sebelah dari Safety Shoe milik beliau yang memang aku kenal.Malah bunk tempat arwah berehat pun tidak kelihatan....aku pasti telah jatuh kedalam laut...





Gambar diambil dari KD Indera Sakti...KD Raja Jarom masih melekat pada Shuyo Maru.Kelihatan bow Shuyo Maru tersekat pada tiang crane.Kalaulah ditakdirkan tiang tersebut patah,nescaya krew yang berada di bridge dan aku yang berada di generator room mungkin sudah tiada lagi di dunia ini....



Sireh Pulang Ke Gagang

Setelah kerja-kerja memisahkan 'ciuman' antara KD Raja Jarom dengan Shuyo Maru yang melekat diantara satu sama lain berjaya dilakukan,akhirnya kami ditunda oleh sebuah Tug Boat yang dikemudikan oleh seorang Captain berbangsa inggeris dari Bufflo Rock ke MBJ di Woodlands.

Setelah mengharungi suasana sedih dan pilu,kami akhirnya telah selamat tiba di MBJ pada waktu petang ke esokkannya, 20 Disember 1982 Sungguh cekap Captain mat saleh tersebut menunda KD Raja Jarom hingga selamat along side di MBJ. Dari kejauhan lagi kelihatan MBJ penuh sesak dengan anggota-anggota TLDM menunggu ketibaan KD Raja Jarom yang remuk,seremuk hati kami...




Lihatlah keadaan hull KD Raja Jarom dikoyak oleh Shuyo Maru...bunk arwah POERA Rahman jatuh ke laut membawa bersama beliau...


Sesudah kapal selamat ditambat di MBJ,sebaik sahaja gangway dipasang,aku dan krew yang lain terus menerpa ke kapal yang berada di inner MBJ untuk mendapat air dan makanan.Masih aku ingat lagi kawan satu badge 141,Ahmad Jelani menghulurkan salam dan  sesikat pisang untuk aku yang kehausan dan kelaparan.Kami dijamu makan oleh krew kapal-kapal PC yang berada disitu,yang aku ingat ialah KD Sundang...Terima kasih semua.

Beginilah keadaan KD Raja Jarom selepas tiba di MBJ. Bahagian yang terkopak dan berlubang itu ialah PO Mess,tempat dimana kali terakhir aku berjumpa dengan Arwah PO Rahman pada malam kejadian.





Petikan dari NST,berita yang kurang tepat...angka kematian dan tarikh adalah tidak betul.....



Kenangan Pahit Yang Sukar Dilupakan

19 Disember 1982,pasti akan aku ingat hingga ke akhir hayat ku...genap 31 tahun trajedi yang menyayat hati ini  berlalu ketika aku menulis coretan sedih ini...sebak aku untuk mengakhiri coretan rasa ini,rasa ingin menulis lagi,meluahkan rasa hati yang pilu...kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah pergi..Selamatlah kalian berada diSANA ,semoga suatu detik kelak pasti kita akan 'berjumpa'...In Sya Allah...

================================================

-AL-Fatihah - 

 Lest WE Forget

Raja Jarom & 3 R

Rahman-Ramli-Rahman



================================================
Kepada rakan-rakan bersama aku suatu ketika dulu dan yang masih dipanjangkan hayat,jika terbaca nukilan yang tidak seberapa ini,terima kasih diatas pertolongan dan semangat yang telah kalian hulurkan kepada aku sewaktu aku 'hilang akal'..terutamanya Ismail A.K.A Mail Kepoh tak lupa juga kepada Raja Zakaria,Che Rahim,Pak Yep,Usop Ganja,Wak Leman dan lain-lain yang tidak aku ingati nama kalian...hanya Allah saja yang dapat membalas budi dan jasa kalian.....aku ingin sangat ketemu kalian jika ada umur dan kesempatan...InsyaAllah.

==================================================

Sebelum ini, pernah aku terbaca dan dengari bahawa terdapat fakta-fakta yang kurang tepat dan cerita yang sengaja direka-reka untuk menceritakan kejadian yang tidak pernah berlaku.Terutamanya tentang tajuk video yang ditayangkan di dining hall pada masa kejadian. Hanya insan-insan yang pernah berkhidmat dan berada di atas kapal KD Raja Jarom pada waktu itu pasti tahu akan kebenarannya.....Wallah Wa'lam....



p/s: Jika ada rakan-rakan dan pembaca yang ingin berkongsi dan ingin membetulkan fakta yang mungkin tersilap,amatlah dialu-alukan...



Sekian...WASSALAM.....


Bersambung di episod yang lain pula.........

10 ulasan:

  1. Allahurabbi . ayah saya juga berada di dalam KD Raja Jarom ketika kejadian , malah cerita ayah saya sama seperti nukilan uncle . dan ayah saya juga menceritakan tentang operasi mengambil meriam di pulau aur , pengalaman yang sungguh menarik untuk anak anak seperti kami ketahui .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Allahuakhbar....siapakah nama ayah ms.NM....mungkinkan uncle mengenali atau mengingati ayah ms...beliau dr cawangan apa ? Terima kasih kerana sudi membaca nukilan uncle yg tidak seberapa ini..hanya sekadar secebis memori luka yg pasti meluluhkan hati jika diingati...kirim salam kat ayah...bagitau dia nama uncle..809566 ODME Tuan saifuzie a.k.a Awe Klate...Wassalam

      Padam
    2. nama ayah saya Muhammad bahagian stor , 806601 , ABSTN . ayah saya krew yang sebelum dan selepas KD Raja Jarom berlanggar , dan ayah saya mengenali uncle . saya sendiri tunjukkan nukilan ini pada ayah , dan ayah saya kirim salam semula pada uncle . kami sekarang menetap di pulau pinang . mudah mudahan uncle dan ayah boleh bertemu nanti untuk mengingati memori yang saya yakin tentera laut zaman sekarang tak lalui . May Allah bless you uncle :)

      siha .

      Padam
    3. Salam diterima...terima kasih anak...uncle pun mengenali ayah Siha...InsyaAllah moga kami dapat bertemu lagi jika dipanjangkan usia yang sedang meniti bait-bait senja...bagitahu ayah,uncle sekarang menetap di Perlis dan masih bekerja sebagai lecturer di IKM....kalau sudi bolehlah add uncle di FB : Tuan Saifuzie...terima kasih...

      Padam
    4. okay uncle saya dah maklumkan pada ayah , ayah akan add uncle dengan segera :)

      Padam
  2. Salam tuan, bapa mertua saya, Abd Rahman Maidin yang tak dijumpai dalam kejadian ini. Adakah PO Rahman yang tuan katakan di awal cerita adalah beliau?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam saz7383....Ya mmg saya pasti...kerana jasad arwah seorang sahaja yg tidak dijumpai...PO Abd Rahman..pergi bersama kenangan terindah ketika saya bersama arwah...sedih saya..AlFatihah...

      Padam
  3. Sorry dear...i'm speechless.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thanks a lot for reading my dear...just to share among us..plse leave me any comments...

      Padam